Sunday, December 1, 2013

Hallyu Wave : Pengaruh dan Implikasi Terhadap Masyarakat Malaysia

  TUGASAN SIW505
NURUL IZZA BT ABDUL AZIZ
PSM0035/13

Pengenalan
Awal tahun 2010, pengaruh Hallyu Wave (gelombang Korea Selatan) telah berkembang ke seluruh dunia terutamanya di Eropah, Timur Tengah, Amerika Selatan dan di seluruh Asia. Ledakan ini secara tidak langsung membius dan memukau sebahagian besar masyarakat Malaysia terutamanya golongan remaja. Bermula dengan drama, lagu, peribadi, gaya hidup, dan budaya menjadi contoh ikutan remaja yang menjadikan artis Korea Selatan sebagai idola mereka. Bagaimana Hallyu Wave dapat mempengaruhi budaya dan etika khususnya di kalangan remaja Islam di Malaysia? Bagaimana pengaruh hiburan ini dapat menular dengan pantas terhadap gaya hidup anak muda di Malaysia? Adakah bentuk hiburan begini diterima oleh Islam?
     
Artikel ini akan membincangkan mengenai epistemologi konsep Hallyu Wave dan bagaimana pengaruhnya ke dalam remaja Islam kian berleluasa. Artikel ini terbahagi kepada 3 bahagian. Perbincangan pertama akan merungkaikan sejarah bermulanya Hallyu Wave seterusnya penulis akan membincangkan isu-isu pengaruh budaya Korea Selatan meresap masuk ke dalam fikiran dan gaya hidup anak muda khususnya remaja Islam dan. Seterusnya penulis akan merumuskan pengaruh budaya Korea Selatan mengikut tasawwur Islam.

Sejarah Hallyu Wave (Gelombang Korea)
            Hallyu berasal dari dua perkataan China iaitu Han (韩) bermaksud Korea dan Liu (流)  bermaksud arus. Dalam bahasa Korea, ia disebut Han(한) dan Ryu  (류). Tulisan dan sebutan bahasa China dan Korea mempunyai persamaan. Bahasa Korea sebenarnya diadaptasikan dari karakter  Cina (Hanja) dan dilengkapi dengan sistem fonetik seperti hyanchal, gugyeol dan idu. Perkataan Han dan Ryu digabungkan membentuk satu perkataan iaitu Hanryu atau Hallyu. Hallyu atau Hanryu, yang merujuk kepada pengaliran atau penyebaran budaya Korea Selatan ke serata dunia. Istilah ini muncul di China pada pertengahan tahun 1999 oleh wartawan Beijing yang terkejut dengan populariti hiburan dan kebudayaan Korea yang berkembang pesat di China. 

Hallyu atau Korean Wave terdiri dari pelbagai aspek termasuklah muzik (Kpop), drama (Kdrama), bahasa (Hangeul), teknologi (termasuk smartphone dan automobil), komik beranimasi, komik, filem dan makanan dan kebudayaan. Dal Yong Jin (2012) mengistilahkan Hallyu kepada perubahan selari pembangunan teknologi digital dan media sosial seperti Youtube, perkhidmatan perhubungan sosial (SNS) dan telefon pintar (smartphone) pada alaf 21. Hallyu juga dikatakan sebagai penyebaran budaya Korea Selatan di China dan seluruh Asia tenggara sejak lewat 1990-an (Eun Mee Kim, Jiwon Ryo 2007). Maksud sebenar Hallyu berdasarkan penulis di atas adalah perubahan selari teknologi dan budaya Korea ke seluruh dunia..
     
Kpop  (Korean Pop) adalah genre muzik yang menggabungkan tarian, eletronik, hip hop, rock, dan R&B yang berasal dari Korea Selatan. Ianya bermula lebih dari 20 tahun yang lalu, pada 1992 apabila penyanyi berkumpulan Seo Tae Ji memperkenalkan dan mempopularkan muzik rap dan tarian.  Kdrama (Korean Drama)  bermula sejak tahun 2002, iaitu sewaktu drama Korea Winter Sonata pertama kali ditayangkan di Malaysia dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Ia diikuti dengan drama Autumn in My heart, Full House, Dae Jang Geum dan Coffee prince. Namun K didepan adalah bukan sekadar hiburan semata-mata, ‘K’ itu sendiri merujuk kepada bentuk promosi negara mereka di mata dunia seperti Hyundai dan Samsung (John Lie, 2012). 
            
 Pada era 2000-an, Kpop semakin mendapat nama hampir di seluruh dunia.  Ini terbukti dengan lahirnya konsert-konsert yang dibuat oleh beberapa kumpulan seperti Big Bang, Super Junior, Girls Generation, Beast, Wonder Girls  di seluruh dunia, Ini termasuklah Perancis, seluruh Eropah, seluruh Amerika Selatan, beberapa negara di Asia Timur dan Asia Tenggara. Populariti mereka juga disebabkan oleh penyebaran maklumat di media sosial seperti di facebook, twitter, youtube blog dan sebagainya. Dengan media ini, kelab peminat mereka akan lebih meluas seterusnya anjakan paradigma besar populariti  Kpop dan Kdrama.

Besarnya pengaruh Hallyu
Kemasukan Korea dan budaya mereka di Malaysia, banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat kita terutamanya golongan remaja.  Pengaruh Korea Selatan bermula dengan fesyen rambut, gaya pemakaian, fesyen baju dan aksesori, diikuti dengan budaya, bahasa dan makanan. Malah tidak dinafikan gaya fesyen masa kini lebih menjurus kepada fesyen masyarakat Korea Selatan yang sebenarnya lebih pro dalam mengamalkan gaya hidup barat. Walaupun secara tradisi, ianya bertentangan dengan pegangan agama Confusion masyarakat Korea. Jika dilihat sewaktu zaman Goryeo dan Joseon, pakaian dan tatasusila mereka lebih menjurus ke arah ketimuran tanpa melanggar adat dan adab timur.

 Kebanyakan masyarakat Korea mengamalkan pembedahan plastik. Bagi mereka, mempunyai kelopak mata (single eyelid) amat tidak memadai dan mereka merasakan ia nya perlu untuk diperbaiki. Mereka kebanyakan akan menjalani pembedahan plastik yang mana mereka memanggil ia eye treatment. Begitu juga dengan hidung, keruncingan dagu, mulut dan sebagainya. Pendek kata, di Korea amat sukar untuk mencari seseorang yang cantik original. Tidak terkecuali dengan artis Korea yang rata-rata amat menjaga kecantikan mereka. Terdedah dengan gejala pembedahan ini, ada antara peminat  yang ingin kelihatan cantik seperti idola mereka, sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata untuk menjalani pembedahan plastik. Demi mendapatkan hidung yang mancung, dagu yang terbelah, kulit yang puteh, tulang pipi terserlah, mereka sanggup mengenepikan agama. Islam melarang secara terang-terangan melalui firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 117-119 :

Yang mereka sembah selain Allah itu, tidak lain hanyalah berhala, dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang durhaka,yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan: "Saya benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan (untuk saya) dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merobahnya". Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata’’.

Ulama mentafsir 3 pendapat mengenai takrifan mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia, mengubah fungsi sesuatu benda seperti  pokok dan matahari untuk disembah, dan mengubah syariat Islam iaitu mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharam (zaharuddin.net). 




Dengan merujuk kepada tafsiran ayat ini, perkara mengubah kejadian Allah seperti pembedahan plastik, meratakan gigi, mengukir gigi, mencukur bulu kening dan sebagainya. Selain diharamkan kerana mengubah ciptaan Allah, ia juga telah membazirkan banyak wang kerana pembedahan plastik amat mahal kosnya.

Selain pembedahan plastik, para peminat Kpop juga sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk membeli barangan artis tersebut seperti CD, poster, tshirt dan sebagainya. Ada juga yang sanggup berhabiskan duit dengan menghadiri konsert mereka yang pada pengetahuan penulis, adalah sangat mahal dan adapun paling murah RM 200. Dengan ini, artis tersebut dijadikan penaik semangat untuk belajar (pelajar), ada juga yang menjadikan mereka sebagai idola. Bukan sahaja CD, malah fesyen kasut, fesyen baju, hatta telefon mobil pun menjadi rebutan para peminat jika itu yang sentiasa dipakai oleh artis tersebut. Mengagung-agungkan orang kafir dan meniru gaya hidup, pakaian mereka adalah tidak dibolehkan sama sekali dalam Islam dan dikhuatiri lama-kelamaan akan menggugat akidah dalam hati.

firman Allah surah an-Nisa ayat 138-140 :

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (139) Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahanam. (140)



Ada yang lebih menarik untuk kita lihat, apabila artis datang melawat ke negara Malaysia yang rata-rata adalah muslim. Peminat Muslim yang berpakaian yang menunjukan mereka adalah Muslimah tidak segan silu memeluk dan bersalaman dengan artis pujaan mereka. Bukan itu sahaja malah ada yang tidak malu menari berjoget mengikut rentak artis mereka. Di sini kita boleh lihat, di mana pegangan agama Islam dalam diri mereka? Terang-terangan bersentuhan di anatara lelaki dan perempuan adalah haram di sisi Islam apatah lagi dengan orang kafir dan di mana imej Islam yang harus ditonjolkan jika menari dan berjoget tetapi bertudung?

Rumusan
Jika dilihat menurut tasawwur Islam, Kpop bukan sahaja mempromosikan kebudayaan malah  ia dapat meresap ke dalam fikiran dan gaya hidup peminat Kpop. Pengaruh Kpop bukan sahaja dapat meruntuhkan akhlak namun, ianya dikhuatiri akan meruntuhkan aqidah juga. 


Bibliografi
Dal Yong Jin (2012) The New Korean Wave in The Creative Industry Hallyu 20, II Journal Fall 2012

Eun Mee Kim, Jiwon Ryoo (2007) South Korean Culture Goes Global K-pop and The Korean Wave, Korean Social Science Journal XXXIV

John Lie (2012) What is K in K-pop? South Korean Popular Music, the Culture Industry and National Identity, Korea Observer , Vol 43 No3, Autumn 2012

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-melayu/219581-penangan-k-pop-lelaki-mahu-jelita.html di akses pada 30 Okt 2013 

http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/264-ringkasan-hukum-botox-susuk-braces.html di akses pada 30 Okt 2013.