Saturday, November 15, 2014

PEMBANGUNAN INSANIAH MISDEV13





TUGASAN SYW502

TAJUK : PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH TERHADAP ISU TRANSGENDER DALAM KALANGAN MASYARAKAT 

Pendahuluan

Pada 7 November 2014, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan larangan ke atas lelaki yang beragama Islam untuk berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. Secara tidak langsung, golongan transgender telah mengiktiraf orang berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk berpakaian dan berkelakuan seperti wanita dalam khalayak ramai. Di Malaysia, statistik melaporkan pada tahun 2001, lapan puluh peratus daripada golongan transgender adalah yang beragama Islam (Teh, 2001). Timbul persoalan bagaimana hal ini boleh berlaku sedangkan dalam al-Qur’an, Allah SWT telah melarang perbuatan ini. Menurut hadis sunan Abu Dawud, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,

‘Rasulullah SAW mengutuk lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki’
                                                                                                      (Riwayat Abu Hurairah : 4807)


Namun, persoalannya, apakah penyebab yang menyebabkan terjadinya perkara seperti ini? Bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah ini?

Artikel ini bertujuan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan di atas. Secara umumnya, artikel ini bertujuan untuk mengkaji golongan seksual minoriti di Malaysia. Secara khususnya, artikel ini bertujuan untuk membawa pendekatan pembangunan insaniah ke atas isu transgender di Malaysia. Artikel ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama pendahuluan, bahagian kedua isu transgender dan pendekatan pembangunan insaniah dan yang terakhir bahagian ketiga merupakan rumusan untuk keseluruhan artikel ini.

Definisi transgender

Transgender boleh didefinisikan sebagai seseorang yang percaya bahawa diri mereka sendiri tidak memiliki sifat jantina yang sebenar (Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang).Transgender boleh juga dikatakan merujuk kepada kedua-dua jantina iaitu, lelaki yang ada kemahuan untuk menjadi wanita, dan wanita yang ada kemahuan untuk menjadi lelaki (Teh, 2001). Menurut Page (2013), Stryker (2008) dan, Teh (2002) transgender ialah perkataan yang mempunyai maksud yang umum bagi “penukaran jantina”. Ia lebih bermaksud seseorang lelaki atau wanita pada asalnya, mempunyai keinginan untuk menjadi jantina yang berlawanan dengan memakai pakaian jantina berlawanan, mempunyai perwatakan berlawanan, tanpa membuat atau telah melakukan penukaran jantina. Transeksual pula menurut Stryker (2008), transgender yang telah melakukan pembedahan plastik serta makan pil-pil hormon, dan berusaha sepenuhnya untuk menukarkan jantina daripada yang jantina asal. Dengan erti kata lain, transeksual ialah keinginan lelaki atau wanita menjadi jantina yang berlawanan sehingga mencapai kemuncak menukar jantina dengan melakukan pembedahan plastik penukaran jantina, memakan pil hormon dan sebagainya. Walau bagaimanapun transeksual berbeza dari transvesitis yang merujuk kepada lelaki yang hanya berpakaian seperti wanita (mak nyah).


Isu Transgender di Malaysia

Peningkatan golongan transgender di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Hal ini boleh dirujuk kepada statistik yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) Pink Triangle Foundation pada tahun 1998. Golongan transgender ini didiskriminasi oleh masyarakat setempat (Teh, 1998 : Angela, 2013: Cviklova, 2012).

Majlis Fatwa Kebangsaan 1989 mengisytiharkan perbuatan ini haram (e-fatwa.gov.my). Disebabkan oleh fatwa ini, pihak berkuasa seperti pihak polis boleh menangkap dan menghukum melalui mahkamah syariah. Disebabkan agama Islam ialah agama rasmi di Malaysia, masyarakat memandang pandangan aib terhadap golongan ini. Implikasi daripada ini isu ini, mereka mengalami diskriminasi, pandangan stereotaip, kehidupan terumbang ambing, tidak diterima oleh keluarga dan masyarakat (Cviklova, 2012). Akibat daripada implikasi ini, golongan transgender mengalami penyisihan dan timbul masalah sosial seperti lari dari rumah, terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bekerja sebagai pelacur (Wan Azmi Ramli, 1991; Teh, 2003). Teh (2004) mencadangkan agar kerajaan membenar dan mengizinkan agar golongan ini diiktiraf dan dibenarkan melakukan pembedahan tukar jantina di Thailand. Golongan ini juga mengalami penderaan seksual, keganasan oleh pihak berkuasa ketika mereka ditangkap oleh pihak berkuasa (hrw.org).

Selain daripada masalah sosial, antara penyebab peningkatan penularan penyakit HIV/AIDS disebabkan oleh golongan transgender. Disebabkan oleh masalah sosial dan keganasan terhadap golongan transgender ini, sesetengah pihak cuba untuk memperjuangkan nasib golongan transgender ini. Pada Oktober 2013, badan-badan bukan kerajaan (COMANGO) menuntut pengiktirafan hak-hak berkaitan dengan Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI). Namun tuntutan ini ditentang oleh segenap masyarakat (Azril Mohd Amin, 2013). Namun, pada Januari 2014, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan COMANGO kerana terdapat pertubuhan yang tidak berdaftar (Norlaili Abdul Rahman, 2014). Walau bagaimanapun, golongan transgender memenangi salah satu hak mereka melalui Mahkamah Rayuan Putrajaya seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

Apakah penyebab yang menjadikan golongan ini sebegini? Penyebab berlakunya transgender dikenal pasti berpunca daripada genetik dan biologi, faktor persekitaran dan faktor psikologi. Pengkaji bahagian neurologi menyifatkan fenomena transgender wujud disebabkan oleh terdapat beberapa bahagian otak yang berbeza daripada manusia biasa. Selain itu, faktor kromosom, tindak balas kimia ketika berada dalam rahim ibu, pengambilan hormon ketika dalam rahim dan faktor sosial yang dialami oleh ibu ketika mengandung. Perkara ini dibincangkan oleh beberapa ahli saintis Levay (1991), Allen dan Gorski (1992), Hamer (1992), Bailey, Pillard, Neale & Agyei (1993), Swabb (2004) dan Hines, Brook dan Conway (2004). Namun begitu, Byne dan Parsons (1993), menolak dengan alasan pembuktian para saintis itu lebih menjurus kepada faktor persekitaran dan bukanlah faktor biologi.

Namun menurut Islam, setiap bayi yang dilahirkan adalah fitrah. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis,

Telah menceritakan kepada Abu Salamah bin Abdurrahman mengkhabarkan kepada Abu Hurairah bahawasanya Abu Hurairah berkata ; Rasulullah SAW bersabda ‘Seorang bayi tidak dilahirkan ke dunia melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah).’
                                                                                                                (Riwayat Sahih Muslim :4804)


Berdasarkan hadis di atas, hujahan daripada ahli saintis Barat ditolak. Hal ini menjadikan faktor persekitaran dan didikan semasa kecil menyebabkan kecenderungan transgender ke arah jantina yang berlawanan.


Pendekatan Pembangunan Insaniah


Boleh kah golongan transgender ini diselamatkan? Transgender berkaitan dengan tingkah laku dan tingkah laku ada kaitan dengan akhlak. Akhlak berasal daripada perkataan ‘khulq’ yang membawa maksud kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku (Mustafa Hj Daud, 1999). Akhlak dari segi istilah membawa maksud segala tingkah laku yang telah menjadi adat kebiasaan seseorang.
Untuk mendidik jiwa menjadi akhlak yang baik, terdapat tiga elemen yang mempengaruhi akhlak seseorang. Tiga elemen tersebut ialah fitrah, iman dan nafsu. Fitrah berasal daripada perkataan ‘al-fathr’ bermaksud belahan (Mahani Razali, Ramlah Jantan & Shahabuddin Hashim, 2003). Melalui perkataan ini lahirlah perkataan yang membawa maksud penciptaan atau kejadian. Maksud penciptaan ini mengumpulkan ciri-ciri semula jadi yang terdapat pada setiap makhluk seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Fitrah sememangnya satu penciptaan daripada Allah SWT namun fitrah boleh berubah, boleh rosak dan boleh menjadi lebih baik dengan tanggungjawab dan peranan ibu dan bapa sesebuah keluarga. Jika pincang didikan ibu dan ayah, maka pincanglah fitrah seseorang kanak-kanak tersebut.


Berdasarkan penerangan di atas, salah satu penyebab transgender ini ialah didikan ibu dan ayah serta keluarga sedari kecil. Namun, didikan dan tabiat ini boleh berubah apabila berubahnya iman dan nafsu seseorang. Baik iman maka baiklah nafsu. Tinggi dan rendahnya iman bergantung pada tingkat-tingkat nafsunya. Terdapat lima tingkat iman iaitu iman taqlid, iman ilmu, iman ayan, iman haq dan iman haqiqat. Tingkat iman yang paling rendah ialah iman taqlid iaitu iman orang yang mengikut-ikut tanpa ilmu. Iman ilmu pula, iman yang dipunyai oleh orang yang berilmu namun tidak beramal dengan ilmunya. Kedua-dua iman ini ialah iman yang paling rendah dan tidak mampu untuk mengawal diri. Kedua peringkat iman ini setaraf dengan tiga peringkat nafsu yang jahat iaitu nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah. Manusia seharusnya mempunyai iman ayan, iaitu orang yang mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu. Iman ilmu seiring dengan nafsu mutmainnah iaitu  nafsu yang paling minimum yang diperlukan oleh diri seseorang untuk menjadikan hati tenang. Iman tertinggi pula iman haq yakni iman yang benar dan iman haqiqat, yang dipunyai para rasul dan seiring dengan tingkat nafsu radhiah, mardhiyyah dan kamilah (Muhammad Syukri Salleh, 2003).


Kedua-dua iman dan nafsu ini memberikan kesan kepada jasad. Peningkatan iman dan pertahanan nafsu serta anggota yang lahir manusia dapat terhindar daripada terlibat dengan maksiat. Anggota tersebut adalah mata, telinga, mulut, tangan, perut, kemaluan dan kaki. Jika keseluruh tujuh anggota ini dapat dikawal, maka isu transgender tidak mungkin akan timbul. Transgender yang ingin berubah haruslah dipimpin dan dibimbing oleh masyarakat. Perubahan transgender untuk kembali kepada asal mereka boleh dilakukan dengan izin Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an yang bermaksud ;

 "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya'
                                                                                                                             (surah ar-Ra'd 13:11)

Rumusan

Kesimpulannya, masyarakat harus mengambil peranan dalam mengubah dan membetulkan kedudukan transgender di Malaysia. Golongan transgender juga harus diberi peluang untuk berubah dan harus dibimbing oleh masyarakat sekeliling tanpa diskriminasi dan pandangan stereotaip. Perubahan transgender ini menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat, bermula dari rumah (keluarga) sehinggalah pemimpin. Jika ianya berlanjutan, dibimbangi akan merosakkan akidah umat Islam di seluruh negara.

Rujukan.

Allen L.S & Gorski R.A (1992) Sexual orientation and the Size of the Anterior Commissure in Human Brain. Proc Natl. Acad Sci USA. Vol 89, Neurobiology

Angela M, Kuga Thas (2013) No Right to Live? Malaysia’s Islam and Implications for Its Sexual Minority Storytellers. Kertas dibentangkan di 4th Global Conference on StoryTelling di Prague, Czech Republic pada 21-24 Mei 2013.

Azril Mohd Amin (2013) Tuntutan-tuntutan  COMANGO Untuk Proses Semakan Berkala Sejagat Malaysia 2013. Diases di http://azrilmohdamin.com/2013/09/18/tuntutan-tuntutan-comango-untuk-proses-semakan-berpenggal-sejagat-malaysia-2013/ pada 14 November 2014

Bailey J. M, Pillard R. C, Neale M. C & Agyei Y (1993) Hertable Factors. Influence sexual orientation in women. Acrh Gen Psychology

Byne W. & Parson B (1993) Human Sexual Orientation : The Biologic Theories Reappraised. Archieve of General Psychiatry AMCAP Journal Vol 19 No 1

Cviklova L (2012) Advancement of Human Right Standard for LGBT people through the perspective of International Human right Law.[Versi Eletronik] Journal of Comparative Research in Anthropology and Sociology 3(2)

Hines M, Brook C & Conway G. C (2010) Androgen and psychosexual development : Core gender identity, sexual orientation and recalled childhood gender role behavior in women and men with congenital adrenal hyperlasia (CAH). The Journal of Sex Research.

Levay S (1991) A difference in hypothalamic structure between heterosexual and homosexual men. Science

Page J (2013) Transexual vs Transgender : Whats the Differents? The Gazette

Mahani Razali, Ramlah Jantan & Shahabuddin Hashim (2003) Psikologi Pendidikan. PTS Publication &Distributors

Mohammad Syukri Salleh (2003) 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Zebra Edition Sdn Bhd

Mustafa Hj Daud (1999) Tamadun Islam. Utusan Publication

Norlaile Abdul Rahman (2014) KDN Haramkan Comango kerana NGO tak berdaftar. http://malaysiagazette.com/nasional/kdn-haramkan-comango-kerana-ngo-tidak-berdaftar#axzz2qlg2YW4D. Di ases pada 15 Februari 2014

Stryker S (2008) Transgender History. Seal press (hlm 7-21)
Swabb D. F (2004) Sexual Differentiaton of Human Brain Relevance for Gender Identity, Transexualism and Sexual Orientation. Gynecological Endocrinology 19

Teh Y. K (2001) Mak Nyahs (Male Transexuals) in Malaysia : The Influence of Culture and Religion On Their Identity. International Journal of Transexual Volume 5.

Teh Y. K (2008) Politics and Islam. Factors Determining Identity & the Status of Male to Female Transexuals in Malaysia in Martin F, Jackson P.A, Lelland M. M & Yue A, Asiapacifiqueer : Rethinking Genders and Sexualities. University of Illinois (pp 85-99)

Teh Y.K (2002) The Mak Nyahs Malaysian Male to Female Transexuals. Eastern Universities Press.
Teh Y. K (1998) Understanding the Problems of Mak Nyahs (Male transexuals) in Malaysia. South East Research, 6(2) Published July (pp 165-180)

Teh Y. K (2002) The Male to Female Transexuals in Malaysia : What should we do with them? Dibentangkan di 4th International Malaysian Studies Conference; 3-5 August 2004, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Wan Azmi Ramli (1991) Dilema Maknyah : Suatu Ilusi. Utusan Publications & Distributiors Sdn Bhd

http://klxpress.com.my/?p=19995
http://www.hrw.org/ja/node/129380
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/muzakarah?page=30
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-kekeliruan-jantina-congenital-adrenal-hyperplasia-dan-testicular-feminization-s